[ soul-diagnosis ]

the never ending soul diagnosis towards Him; The Creator of All Souls.

Saturday, July 17, 2010

harapan




Kehidupan ini suatu harapan. Kan? Kerana adanya harapan itulah, membuatkan insan mampu berjuang dan terus berjuang menongkah kehidupan yang tidak pernah sunyi dari badai ujian dan onak duri dugaan yang silih berganti, siang malam tanpa henti.

Adanya harapan, membuatkan yang jatuh kembali bangkit.
Adanya harapan, membuatkan yang lemah kembali menguatkan dirinya.
Adanya harapan, membuatkan yang sukar itu terasa mudah.
Adanya harapan, membuatkan yang pahit itu terasa manis.
Adanya harapan, membuatkan yang lelah itu terasa bahagia.
Adanya harapan, membuatkan yang menangis itu kembali senyum.
Adanya harapan, membuatkan yang berdosa kembali bertaubat.


Harapan.


Ya, harapan. Selagi masih bernafas. Selagi jantung masih berdegup. Selagi matahari masih terbit di ufuk timur. Selagi itulah kita masih mempunyai harapan.

Harapan itu, Allah yang bagi.
KurniaanNya.
AnugerahNya.
Tanda sayangNya.
Tanda kasihNya.
Tanda cintaNya.
Kepada siapa?


Kitalah.


Ya, kita. Kita ini. Kita yang sehari-hari tidak pernah sepi dari dosa. Kita yang setiap ketika melakukan kesalahan dan kesilapan. Kita yang selalu leka dan lalai akan suruhanNya. Kita yang terbius dengan racun duniawi yang merosakkan. Kita yang menzalimi diri sendiri tanpa henti. Kita yang tak malu dengan Pencipta sendiri. Ya, kitalah semua itu.


Namun...kita masih punya harapan. Kerna kita ada Allah. ya, Allah. Allah sentiasa memberi harapan kepada jiwa-jiwa yang sarat dengan dosa dan noda. Dia memberikan harapan terus menerus tanpa peduli apa pun yang pernah kita lakukan.
Dia yang Mahu Mengetahui kelunakan hati hamba-hambaNya yang lumat dengan dosa. Dia yang Maha Mengetahui fitrah jiwa-jiwa insan yang mahu kembali kepada Tuhannya. Dia yang Maha Mengetahui setiap sesuatu yang kita zahirkan atau rahsiakan. Dia Tahu, Dia Tahu, Dia Tahu. Dia Maha Mengetahui segala-galanya hatta gugurnya sehelai daun sekalipun, semuanya dalam pengetahuanNya.


Dari Anas r.a, ia berkata, ” Aku mendengar Rasulullah s.a.w bersabda, ”Allah berfirman, Wahai anak Adam! Sesungguhnya selama engkau berdoa dan mengharap kepada-Ku, Aku akan mengampunimu atas dosamu dan Aku tidak pedulikan lagi. Wahai anak Adam! Seandainya dosa-dosamu setinggi langit, kemudian engkau memohon ampun kepadaKu, Aku akan mengampunimu. Wahai anak Adam! Sesungguhnya jika engkau datang kepadaKu dengan membawa dosa sepenuh bumi, kemudian engkau bertemu denganKu dalam keadaan tidak mempersekutukanKu dengan sesuatu pun, sungguh Aku akan datang kepadamu dengan ampunan sepenuh bumi pula.” (HR Tirmidzi)


Lihat. Dialah Tuhan yang Maha Pemberi Harapan kepada setiap insan yang merangkak satu per satu menujuNya.


Katakanlah: ”Wahai hamba-hambaKu yang melampaui batas terhadap diri mereka sendiri! Janganlah kamu berputus asa dari rahmat Allah. Sesungguhnya Allah mengampuni dosa-dosa semuanya. Sungguh, Dialah Yang Maha Pengampun, Maha Penyayang. [Az-Zumar, 39:53]

Jalan pulang kepada Allah terlalu L U A S. Jangan pernah putus asa. Ya, walau sekali, jangan pernah. Rahmat kasih sayangNya terlalu luas buat kita. Ya, buat saya dan buat kamu. :)


0 sharing words: